Hantu merupakan kepercayaan mengenai makhluk halus yang wujud di dalam
alam lain yang terdapat dalam semua kebudayaan dalam dunia ini. Dalam
masyarakat Melayu, hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah wujud
sejak zaman animisme lagi. Ketika itu semua benda besar seperti pokok
atau batu yang besar dianggap didiami jin penunggu yang perlu dijaga
dengan baik agar jin tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk
sekitar. Malahan jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang
berpengalaman yang dikenali sebagai pawang bagi memastikan penunggu
tersebut pula membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan
musuh tanaman. Amalan ini masih kekal dikalangan penduduk asli yang
masih mengamalkan kepercayaan animisme.
Dengan kedatangan agama Hindu dan Buddha, konsep penunggu dan jembalang
diubah menjadi konsep dewa-dewa yang mendiami tempat-tempat tertentu.
Bagi menghormati dewa-dewa ini, kuil-kuil dibina ditempat-tempat
tersebut dengan tujuan pemujaan bagi mendapatkan per. Keadaan ini tidak
berubah dengan kedatangan orang-orang Cina yang juga mendirikan tokong
kecil di bawah pokok atau tempat tertentu bagi mendapatkan bantuan tuah
kepada mereka.
Islam menghapuskan
Kedatangan agama Islam mengajar bahawa tidak terdapat mambang dan hantu,
yang ada hanyalah mahkluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata
kasar. Makhluk halus ini yang dikenali sebagai jin, dianggap mendiami
alam yang berbeza dengan manusia. Islam mengajar bahawa makhluk halus
atau jin ini tidak dapat memudaratkan manusia kecuali dengan keizinan
Allah, Islam mengajarkan agar hanya takut dan mengesakan Allah
semata-mata. Manusia digesa agar menjauhi pujukan syaitan dan selalu
berdoa 'Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam -
Auzubillah himinash syaitanirrajim'.
Bagaimanapun kebudayaan Melayu yang menebal menyebabkan masih ada yang
terkeliru beza antara Islam dan kebudayaan Melayu, yang mendorong mereka
menyangka amalan-amalan kebudayaan adalah amalan Islam. Sebagai contoh
mandi Safar pernah disalah-anggap satu amalan Islam, sehinggalah para
ulamak tampil kehadapan bagi menjelaskan amalan Islam yang sebenar, yang
akhirnya mendorong pesta mandi safar dimansuhkan.
Bagaimanapun budaya hantu sukar dikikis daripada masyarakat kerana
kecenderungan ibubapa anak-menakutkan anak-anak menyebabkan anak mereka
benar-benar takut kepada hantu dan percayakan bahawa hantu itu wujud.
Peranan media massa
Filem hantu Melayu seperti 'Pontianak', 'Dendam Pontianak', dan
'Pontianak Gua Musang' mendapat sambutan hangat daripada para penonton
pada masa itu. Akibat kejahilan dalam agama dan ramai orang yang tidak
terpelajar pada ketika itu, filem-filem itu mempengaruhi mereka. Ini
mendorong kerajaan untuk menghentikan pembuatan dan penayangan
filem-filem bercorak hantu yang boleh merosakkan akidah. Bagaimanapun,
cerita-cerita hantu masih ditulis dalam majalah seperti majalah
'Mastika' dan 'Tok Ngah'. Setelah dipertimbangkan kembali bahawa
kebanyakan orang pada masa kini lebih terpelajar dan faktor kebanjiran
masuk filem-filem hantu asing, ini telah mendorong kerajaan menarik
balik sekatan tersebut sekitar tahun 2000. Malah dokumentari alam ghaib
seperti 'Filem Melangkah ke Alam Ghaib' dan 'Misteri Nusantara' di
saluran TV3 turut membincangkan mengenai kewujudan hantu.
Mengapa hantu
Hantu wujud dalam minda Melayu sebagai satu penjelasan mengenai perkara-perkara yang tidak difahami atau diketahui. Contohnya :
Mengapa seseorang itu sakit mengejut pada hal sebelum ini kelihatan sihat selepas pindah ?
Mengapa pokok besar dan berakar songsang itu berbunyi pada waktu malam ?.
Mengapa sesebuah rumah itu ditinggalkan oleh penghuninya, dan orang yang
baru berpindah masuk tidak kekal lama. Ada bunyi orang mengilai .
Mengapa kawasan kubur seperti ada sesuatu bergerak dan berbunyi pada waktu malam.
Mengapa mayat seseorang dijumpai berkecai-kecai ketika berladang. (Akibat haiwan buas?)
Mungkin orang Melayu hendak menakutkan anak-anaknya janganlah keluar
waktu malam atau waktu maghrib. Mungkin cerita hantu mudah direka dan
menjadi hiburan pada waktu malam.
Ciri-ciri umum
Pada umumnya orang-orang Melayu percaya hantu menjalankan aktivitinya
pada waktu malam sahaja khususnya pada bulan mengambang. 99 % hantu
dalam masyarakat Melayu terdiri daripada perempuan atau menyerupai
perempuan. Hantu dalam masyarakat Melayu adalah untuk ditakuti, bukan
untuk didekati.
Berdasarkan gambaran umum (tidak semestinya tepat
kebenarannya),kebanyakan hantu ini matanya merah, pada mulutnya merah
kesan-kesan darah. Mulutnya penuh dengan gigi yang tajam bercerancang,
berwarna merah, selalunya selepas menghisap darah.
Jenis-jenis hantu
Ada pelbagai jenis hantu atau makhluk yang dianggap hantu ini . Munsyi
Abdullah dalam Hikayat Abdullah telah lama mempertikaikan kepercayaan
karut orang Melayu ini. Antara jenis-jenis kelompok hantu-hantu ini
adalah :
1.Pontianak / Puntianak / kuntilanak - wanita berpakaian serba putih membalas dendam.
2.Polong - boleh dipelihara
3.Toyol - hantu kanak-kanak bogel
4.Pelesit - boleh dipelihara
5.Hantu air - dalam air
6.Hantu raya - boleh dipelihara
7.Hantu bungkus - makhluk ghaib yang dilihat berbungkus dalam kain kafan.
8.Langsuir - perempuan
9.Bota - makhluk besar hodoh menjelma dari dalam tanah.
10.Bajang - makhluk aneh
11.Bunian, Kerajaan dan keluarga Bunian.
12.Hantu Jepun
13.Hantu bukit
14.Hantu kubur
15.Pari-pari
16.Hantu punjut
17.Jerangkung
18.Hantu laut
19.Hantu galah
20.Jin Tanah
21.Hantu Keramat
22.Hantu Kum-Kum
23.Hantu Bungkus
24.Orang minyak
25.Puaka
26.Penanggalan
27.Pocong
28.Hantu bidai
29.Hantu kopek
30.Hantu Tetek
31.Harimau jadian
32.Jembalang tanah
33.Hantu tengelong
Menghalau hantu
Pada masa kini, kebanyakan orang sudahpun berfikiran moden dan akan
mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Tetapi kadang-kala, pihak
hospital atau klinik mendapati tidak terdapat sebarang masaalah
dijumpai. Biasanya keluarga si pesakit menganggap sipesakit diganggu
sesuatu, dan akan berpaling kepada perkhidmatan traditional bagi cuba
mengobati pesakit.
Perubatan cara menghalau hantu secara umumnya terbahagi kepada dua:-
Menggunakan khidmat sahabat jin bagi menghalau jin penganggu, biasanya
dengan cara menurun. Cara ini telah difatwakan haram oleh ulama.
Menurut petua yang tidak bertentangan dengan Islam, tiada bacaan tertentu cuma menggunakan bahan-bahan semulajadi.
Menurut keugamaan masing-masing.
Sesetengah mereka yang berfikiran moden berpendapat, ia hanyalan kesan
placebo. Selagi mereka yang diubati percaya mereka sihat, mereka akan
sembuh dengan sendiri. Dalam erti kata lain, penyakit ini adalah
penyakit dalam fikiran (psikologi). Walaubagaimanapun, keluarga pesakit
tidak mempeduli apa yang berlaku. Bagi mereka, asalkan sipesakit sembuh,
mereka akan melakukan apa jua yang diperlukan.
Bersahabat dengan jin
Bersahabat dengan jin merujuk kepada seseorang yang mengikat tali
persahabatan dengan makhluk halus. Persahabatan ini biasanya tidak
digalakkan kerana ia mampu mendorong seseorang menjadi syirik, tetapi
selalunya masih dilakukan kerana keinginan mendapat kelebihan tertentu
seperti kebolehan mengubat. Kebolehan berubat merupakan bisikan dari jin
yang menjurus kepada syirik kerana pemgamal telah memohon kepada jin
untuk menolong beliau.Persahabatan dengan jin ini juga dikenali sebagai
saka.
Mereka yang bersahabat dengan jin ini perlu mematuhi beberapa syarak
seperti ada yang meminta persembahan makanan, ada yang perlu dibakar
kemian setiap waktu tertentu, dan ada yang mengenakan apa-apa syarat
kecuali mereka ini mengerjakan amalan Islam dengan taat. Jin yang
mengenakan syarat mereka yang bersahabat dengan mereka agar mengerjakan
amalan Islam dengan taat biasanya dikenali sebagai jin Islam atau kaum
bunian.
Cara berhubung dengan sahabat jin
Cara lama ialah memanggil bomoh atau pawang di dalam sesebuah kampung.
Bomoh atau pawang biasanya membakar kemenyan , membaca mentera tertentu
seperti bahasa Jawa , kain kuning dan dedaun-dedaun tertentu sebagi
peramu atau perambas. Untuk kes yang lebih berat, kambing akan
disembelih, darahnya dijadikan acak (hidangan kepada hantu) dan
dihanyutkan ke dalam sungai. Daging kambing dimasak dan dimakan secara
beramai-ramai. Sekarang perkara ini tidak lagi dilakukan kerana perkara
itu telah diketahui sebagai syirik.
Di Kelantan , tarian Ulik Mayang atau Main Puteri akan dipersembahkan.
Sekiranya seseorang itu gagal diubati dengan cara biasa, satu upacara
besar-besaran dengan tarian Ulik Mayang atau Main Puteri akan dilakukan.
Nyanyian lagi Ulik Mayang yang merdu beserta tarian ringkas , dirambas
dengan tandan pinang kecil menyeru tuan puteri (bunian) agar datang
menyembuhkan pesakit.
Di banyak tempat, bomoh boleh 'menyelap' atau 'menurun' hingga boleh
bertutur bahasa asing. Contohnya bahasa Siam, bahasa Jawa, bahasa Jerman
dan bahasa Inggeris. Pendengar akan kehairanan kerana bagaimana jin
boleh berbahasa asing walaupun sepatah dua sahaja. entah betul entah
tidak bomoh tersebut berbahasa Inggeris.
Kualiti bomoh semakin meningkat jika berasal dari Orang Asli , orang
Siam atau orang Jawa. Ilmu orang Asli tentang menghalau hantu dan
memanggil hantu dipercayai lebih mujarab dan sangat ditakuti.
Menurut cara perubatan Islam
Orang Melayu yang agak beriman akan berjumpa dengan orang alim seperti
ustaz, Imam, lebai, pak aji atau tokoh agama di dalam kampung untuk
menyelesaikan masalah ini dengan bacaan al Quran. Mereka yang sakit
biasanya akan dibacakan ayat-ayat tertentu bagi memulihkan semangat, dan
biasanya dimandikan / disuruh mandi dengan air campuran limau bagi
menyegar badan. Selain itu air yang dibacakan bacaan al Quran diberi
munum bagi memulih/penguat semangat pesakit. Ini sama seperti mereka
yang berfikiran moden berjumpa dengan pakar motivasi bagi meringankan
fikiran daripada masaalah yang dihadapi.
Bagi orang Melayu, hantu boleh dihalau dengan bacaan ayat-ayat suci.
Oleh itu, orang Melayu menyimpan al Quran di rumah. Selain itu ayat-ayat
Quran tertentu digantung di dinding-dinding rumah walaupun mereka tidak
mengerti apa maksudnya.Dengan harapan, hiasan quran ini dapat menghalau
jin tanpa beramal dengannya. Perkara ini adalah bertentangan dengan
ajaran Islam sebenar, kerana Al Quran adalah untuk dibaca dan bukannya
menjadi hiasan.