Puntianak atau lebih popular dieja sebagai pontianak, dipercayai oleh
masyarakat Melayu bahawa ia berasal daripada perempuan yang mati ketika
mengandungkan anaknya. Terdapat juga pendapat menyatakan bahawa ia
merupakan jin (hantu) liar yang bertindak mengganggu manusia.
Ejaan awalnya adalah pontianak, lihat gambar poster filem Anak Pontianak
di atas, sebelum ditukarkan sebagai puntianak. Puntianak juga merupakan
salah satu jenis hantu yang disenaraikan oleh Abdullah Kadir dalam
bukunya, Hikayat Abdullah.
Puntianak dalam kegunaan lain
Pontianak (puntianak) juga merupakan nama ibukota Provinsi Kalimantan
Barat di Indonesia yiaitu Kota Pontianak (Ibukota Kalimantan Barat) ada
kaitannya dengan hantu puntianak tersebut.
Tersebutlah kisah, ketika Syarif Abdurrahman Al-Qadri pertama kali
mendirikan Kota Pontianak, ia dan rombongannya sering diganggu oleh
hantu pontianak ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu
gerbang Kota Pontianak dari arah Laut China Selatan. Maka untuk mengusir
hantu pontianak tersebut, ditembakkannyalah meriam. Sekaligus dimana
peluru meriam itu jatuh, maka di situlah akan didirikan kesultanan. Maka
peluru meriam itu jatuh melepasi di simpang tiga Sungai Kapuas dan
Sungai Landak yang kini lebih dikenal sebagai kawasan Beting-Kampung
Dalam Bugis-Pontianak Timur. Itulah cikal bakla Kota Pontianak. Nama
Pontianak sendiri diambil dari nama hantu pontianak yang sering
mengganggu Syarif Abdurrahman Al-Qadri. Syarif Abdurrahman Al-Qadri
sendiri akhirnya menjadi Sultan Kesultanan Pontianak yang pertama
(sekitar abad 17).
Kini Keraton Qadriah dan Masjid Jami' Sultan Syarif Abdurrahman masih
berdiri dengan kukuh di kawasan Beting dan Kampung Dalam Bugis-Pontianak
Timur, sebagai saksi bisu kejayaan Kesultanan Melayu
Pontianak-Kalimantan Barat-Indonesia.
Puntianak dalam filem
Sekitar tahun 1950-an beberapa filem hantu telah difilemkan di Singapura
terutamanya oleh Cathay-Keris yang masih menarik untuk ditonton hari
ini. Antara yang mashyur adalah Filem Pontianak, Filem Sumpah Pontianak
(B.N Rao, 1957, 1958), Filem Anak Pontianak (Ramon A. Estella, 1958),
dan Orang Minyak (L. Krishnan, 1958). Ia memberi kesan yang amat sangat
sehingga dilaporkan ada penonton yang pengsan kerana menonton
filem-filem tersebut. Filem-filem tersebut berasaskan dari lagenda
Melayu amat menghiburkan masa kini sebagaimana ketika ia dikeluarkan,
walaupun kini ia mungkin dianggap tidak lagi menakutkan dan amat
melucukan berbanding keadaan sebenar ketika filem tersebut dihasilkan.
Dalam kebanyakan cerita seram yang ditunjukkan di televisyen, ia
menayangkan bahawa hantu puntianak membunuh mangsanya dengan menghisap
darah di bahagian tengkuk mangsa. Namun begitu di dunia yang nyata,
tiada kes dilaporkan mengenai adanya manusia yang mati dibunuh oleh
puntianak.
Filem-filem tersebut mendorong kepada ketaksuban rakyat masa itu kepada
perkara-perkara kurafat, yang akhirnya menyebabkan filem-filem
sedemikian diharamkan penghasilan dan disekat daripada saluran kerajaan.
Ini bagi menyekat kepercayaan karut yang timbul kesan daripada
cerita-cerita sedemikian.
Pada masa kini, dengan cahaya yang terang sepanjang masa, kebanyakan
kita menganggap ketakutan yang ditunjukkan dalam filem tersebut sebagai
mengarut. Tatapi apabila kita berhadapan dengan suasana yang serupa,
keadaan gelap ditengah hutan dengan haiwan buas berkeliaran, ketakutan
terhadap sesuatu yang tidak dapat dilihat merupakan sesuatu yang benar
bagi mereka yang hidup ketika itu.
Kelemahan
Puntianak ini dikatakan mempunyai lubang dibelakang tengkuknya. Sesiapa
yang berjaya hidup ketika berjumpa puntianak dalam jelmaan wanita dan
memasukkan paku ke dalam lubang ini dikatakan menjadikan puntianak
tersebut kekal menjadi wanita cantik. Sekiranya paku itu dikeluarkan, ia
akan kembali sebagai puntianak. Bagaimanapun, anda dinasihatkan agar
tidak cuba memaku mana-mana wanita yang dijumpai kerana akhirnya anda
mungkin akan dituduh membunuh.
[sunting] Penelitian secara ilmiah
Hantu puntianak dikatakan sering menjelma sebagai wanita cantik yang
berjalan seorang diri dijalan yang sunyi. Oleh itu, cerita ini
kemungkinan bertujuan menghindari golongan wanita daripada diganggu oleh
pemuda-pemuda yang takutkan puntianak ketika berjalan seorang diri di
jalan yang sunyi.
Sumber rujukan
1. Malay Beliefs By Richard James Wilkinson
2. Hantu-hantu; an account of ghost belief and modern Malaya.
3. The consul's file By Paul Theroux.